Isi Kandungan Buku The Seven Habits of Highly Effective People
Buku
ini menyenaraikan 7 sikap atau prinsip asas seseorang manusia yang mana
jika diusahakan akan dapat mendorong seseorang itu mampu mencapai apa
sahaja yang ia ingini. Ia menjadi inspirasi dalam memberi dan
meningkatkan motivasi bagi setiap orang yang membacanya.
Bahasanya
sederhana, lugas dan mudah difahami disertai dengan contoh-contoh biasa
yang sering ditemui dalam kehidupan seseorang itu seharian. Sehingga
cukup mudah untuk difahami apa yang dimaksudkan oleh penulis.
7 Kebiasaan baik yang ditulis oleh Covey dalam buku ini mencakup:
1. PROAKTIF (Be Proactive).
Covey menekankan daya
proaktif yang pernah digarapkan oleh Victor Frankl di dalam bukunya.
Kemampuan memilih respon yang sesuai dengan nilai-nilai yang disebut
proaktif. Sikap proaktif ini sememangnya digalakkan dalam Islam sendiri,
jika berpandukan sirah Nabi SAW.
Kita mendapati Baginda SAW sering
melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan dengan kewujudan pelan A, B
dan C dalam melaksanakan setiap tugasan tersebut. Ia merupakan strategi
luar jangka yang perlu difikirkan oleh setiap orang sebelum melakukan
sebarang kerja.
2. MEMULAI DENGAN TUJUAN AKHIR (Begin with the End In Mind)
Merumuskan apa yang
sebenarnya menjadi tujuan kita. Menuliskan visi kita, kemudian baru
menentukan langkah-langkah untuk mencapai tujuan. Menyelaraskan kegiatan
sehari-hari kita dengan tujuan yang telah kita tentukan tersebut. Dalam
hal ini, konsep ini sama dengan konsep yang Islam tentukan iaitu NIAT.
Niat sesuatu amalan memerlukan kepada pelaksanaannya dari awal tujuan hingga selesai tujuan tersebut.Dalam
niat ia mesti ada (1) Niat atau tujuan untuk melakukannya (2) Tekad
hati untuk melaksanakannya (3) Azam untuk melaksanakannya hingga
selesai. Jadi itulah NIAT yang disarankan oleh Islam sebenarnya, bukan
seperti sebahagian orang yang merasakan niat itu hanya di hati dan tidak
melaksanakannya, jika itu yang terjadi, maka kalimah yang sesuai adalah
angan-angan ataupun impian kosong.
3. DAHULUKAN YANG UTAMA (First Things First)
Menjadual dan
mendahulukan kerja yang penting atas pekerjaan yang kurang penting. Ini
sama dengan konsep yang pernah dipaparkan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi
di dalam bukunya berjudul Fiqh al-Awlawiyyat ataupun bermaksud Fiqh
Keutamaan. Di dalam kitab al-Qaradawi itu ia lebih detail dan terperinci
dalam bab ini. Bagi Covey, ada 4 kategori waktu yang dibahagikannya di
dalam bukunya iaitu kategori:
a.Hal yang penting dan mendesak
Orang yang majoriti
waktunya dihabiskan di sini berkemungkinan besar akibat terlalu banyak
menunda dan mengabaikan perancangan dan pekerjaan yang perlu
dilaksanakannya terlebih dahulu.
b.Hal yang penting dan tidak mendesak.
Orang yang menghabiskan sebahagian besar waktunya di sini adalah dengan
belajar, evaluasi, perancangan yang baik dan membina hubungan baik
dengan orang lain, termasuk dalam kategori ini.
c.Hal yang mendesak tetapi tidak penting.
Sesuatu yang kelihatan mendesak untuk dilaksanakan tetapi sebenarnya tidak penting.
d.Hal yang tidak mendesak dan tidak penting.
Di sinilah tempat bagi
pemalas menghabiskan waktu. Membaca akhbar secara berlebihan dengan
alasan mencari informasi, menonton TV berlebihan, banyak bersembang dan
berbual kosong serta pelbagai situasi yang tidak mendatangkan sebarang
faedah.
4. BERFIKIR MENANG-MENANG (Think Win/Win)
Perlunya ada sikap
berfikir untuk berjaya pada setiap individu yang waras. Covey memberikan
rangsangan ini bagi seseorang itu dapat menyelesaikan setiap perkara
tanpa wujud perasaan putus asa yang sering membuatkan segala perancangan
yang bakal dilaksanakan tergendala.
Oleh
itu, sikap berusaha untuk berjaya akan membuahkan hasil yang lumayan
sekalipun jalan ke sana begitu sukar. Islam sendiri menggariskan bahawa
umat Islam adalah umat yang terbaik dari umat yang lain, sekalipun kalau
dilihat kini mereka sering diancam dan dipersendakan. Namun, bagi orang
yang beriman dengan Allah dan rasulNya, mereka tetap percaya dan
bergantung pada firman Allah yang bermaksud Kamulah kelompok TERHEBAT!
5. BERUSAHA FAHAMI LEBIH DAHULU BARULAH MEMAHAMINYA (Seek First to Understand, Then to be Understood)
Covey menyatakan
dalam sesuatu isu yang timbul sebelum kita melontarkan pemikiran atau
idea, kita perlu memahami dahulu jalan fikiran orang yang diajak
berbual. Sebelum memberikan sesuatu idea kita perlu meletakkan diri
kita. Jikalau kita diposisi penerima, lakukanlah keadaan yang kita dapat
mengiyakan bila kita dihadapkan pada situasi seperti itu.
Kemudian
barulah kita lontarkan idea pemikiran kita pada orang tersebut. Oleh
itu, tidak sepatutnya kita menjalankan program kita tanpa mempedulikan
orang lain yang bersetuju atau tidak. Tetapi buatlah orang memahami
hingga dapat mengiyakan terlebih dahulu dan cuba berlatih untuk berada
di pihak penerima sebelum menyampaikan sesuatu idea dan perancangan.
6. WUJUDKAN SINERGI (Synergize)
Bagaimana taktik dan praktiknya menggambarkan suatu kerjasama yang
sempurna. Kerjasama bukan sahaja digambarkan sebagai gotong-royong
tetapi lebih dari itu dari aspek taktiknya. Menggambarkan satu kerjasama
yang mendahulukan kerja yang berat dulu, kemudian baru menyelesaikan
yang ringan.
Kerjasama
ini juga perlu didukung oleh sikap moral yang baik dalam sesebuah
rumpun masyarakat, sama-sama komponen yang paling kecil sekalipun
seperti rakan, serumah, sekelas, sepejabat dan seterusnya.
7. ASAHLAH GERGAJI BAGI TAJAM (Sharpen the Saw)
Ini adalah falsafah yang perlu dilakukan dalam mempertajam dan
memahirkan diri dalam apa jua keilmuan dan juga bidang yang diceburi.
Pada ungkapan ini tidak tergambar ilmu untuk jalan dunia saja, tetapi
juga untuk bekal akhirat. Adalah suatu keharusan untuk mempertajam ilmu
baik ilmu dunia mahupun akhirat, bila tidak ingin ilmu tersebut hilang.
Isi
yang ditulis cukup bagus, setidaknya boleh menjadi pedoman untuk hidup
lebih efektif. Paling tidak, buku ini mampu menjadi panduan bagi kita
untuk menjadi lebih baik lagi.
Buku ini tidak hanya menjadi best seller kerana telah menawarkan cara
berfikir dan hidup yang lebih efektif. Namun, buku ini juga menjadi
efektif kerana terbukti memberikan pengaruh yang besar dalam berbagai
kalangan masyarakat yang membacanya.Dalam
buku ini juga ia tidak hanya memberikan panduan-panduan pembinaan diri
dan peribadi yang dangkal. Lebih mendalam aspek yang ditekankan oleh
Stephen R. Covey adalah dengan menawarkan suatu kesedaran baru tentang
perlunya untuk kembali kepada kepentingan dan efektifnya pembinaan
karakter bagi kehidupan manusia, individu mahupun kelompok.Selain
penjelasan, buku ini juga dilengkapi dengan pelbagai ilustrasi dan
analogi menarik. Bahkan, salah seorang di antara para pemberi komen buku
ini seperti yang tertulis di kulit belakangnya secara terang menyatakan
selamat tinggal pada para pemikir dan buku-buku yang memusatkan diri
pada pembentukan keperibadian macam Norman Vincent Peale dan Dale
Carnegie.
Buku
yang begitu popular ini memberikan impak kepada penulisan Covey yang
seterusnya dalam melahirkan karya berikutnya seperti buku The Power Of The 7 Habits, Applications And Insights, Seven Habits of Highly Effective Families dan Beyond the Seven Habits. Sambungan pada penulisan buku The Seven Habits ini ialah buku yang berjudul The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness yang diterbitkan pada tahun 2004.
Anak
lelaki Covey yang bernama Sean Covey telah menulis beberapa versi buku
yang lebih menjurskan kepada anak remaja dengan tajuk The Seven Habits of Highly Effective Teens.
Buku ini secara mudah dan ringkas ditujukan kepada para remaja. Pada
bulan Oktober 2006, Sean Covey telah menerbitkan sebuah buku lain
berjudul The 6 Most Important Decisions You Will Ever Make: A Guide for Teens.
Panduan ini meletakkan masa yang sesuai dalam kehidupan seorang remaja
dan beberapa bimbingan cara untuk berinteraksi dengan mereka. Abang kepada Sean Covey iaitu Stephen M.R. Covey pula telah menulis buku bertajuk The Speed of Trust.